Showing posts with label santapan rohani. Show all posts
Showing posts with label santapan rohani. Show all posts

Thursday, March 11, 2010

Tips agar tidak timbul riak apabila apa yang diidamkan tidak diperoleh

1. Sentiasa bersyukur kepada Allah swt. Contohnya cantik, ia adalah milik Allah swt dan pada bila-bila masa Allah swt boleh menariknya balik.

2. Doa untuk mengelakkan diri daripada sifat sombong dan takbur serta supaya kita sentiasa mendapat rahmat di dalam hidup.

Doa ini selalu dibaca oleh Nabi Sulaiman iaitu surah al-Naml: 19 yang bermaksud:
Ya Tuhanku, berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepada ku dan kepada dua orang ibu bapaku dan untuk mengerjakan amal saleh yang Engkau redai dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh.

3. Kalau ingin sekalipun cantik biarlah dengan kaedah yang ditetapkan di dalam Islam. Jangan sama sekali bertemu dengan bomoh dan dukun untuk kelihatan cantik.
Ini kerana Nabi telah bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang bertemu dengan tukang tilik dan mereka percaya dengan kata bomoh atau dukun tersebut, solatnya tidak diterima Allah swt selama 40 hari".

Amalkan:
1. Membaca Fatihah.
2. Banyak berselawat.
3. Doa - surah Yusuf ayat 4 (doa ini ada banyak kelebihannya antaranya; meringankan jodoh, wajah berseri).
Petikan dari Utusan Malaysia.

Tuesday, February 9, 2010

Agama Itu Nasihat


Kalamullah:
"Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya, hanyalah ulama. Sesungguhnya Allah Maha perkasa lagi Maha Pengampun".
~ Fathir: 28

Sabda Nabi:
"Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi. Sungguh para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Sungguh mereka hanya mewariskan ilmu maka barangsiapa mengambil warisan tersebut ia telah mengambil bahagian yang banyak".
~ HR At Tirmidzi, disahihkan Al Iman Al Albani

Nasihat Ulama:
"Jika engkau mampu, jadilah seorang ulama. Jika engkau tidak mampu, maka jadilah penuntut ilmu. Bila engkau tidak mampu menjadi seorang penuntut ilmu, maka cintailah mereka. Dan jika kau tidak mencintai mereka, janganlah engkau benci mereka".
~ Umar bin Abdul Aziz

Tuesday, March 17, 2009

Doa Agar Tergolong Sebagai Orang Soleh


Wahai Tuhanku, berilah daku ilmu pengetahuan agama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh. Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian. Dan jadikanlah daku daripada orang-orang yang mewarisi syurga Jannatun-Naim.
~ al-Syu'aara': 83-85

Keterangan ayat:
Mendahulukan ayat "berikanlah daku ilmu pengetahuan agama" sebelum ayat "hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh" menunjukkan kepentingan mendapat ilmu. Apabila memiliki ilmu, amalan yang benar dapat dilakukan.

Ilmu merupakan makanan roh dan amalan adalah makanan jasmani. Maka sudah tentu makanan rohani perlu diambil berat lebih daripada makanan jasmani. Abu Abdullah al-Razi mengatakan ilmu dalam ayat ini bukanlah khas untuk menjadi nabi kerana Ibrahim sudah dilantik menjadi nabi sebelum itu. Nabi Ibrahim turut memohon agar diingatkan sebagai manusia yang mulia selepas kematiannya.

Allah swt memakbulkannya dengan menjadikan dakwah Nabi Muhammad saw sebagai penyempurna risalahnya dan dinamakan Islam sebagai al-Hanifiyyah, mengambil sempena nama Nabi Ibrahim a.s.
Disamping sebutan nama yang baik, baginda juga meminta agar tergolong dalam ahli syurga di akhirat. (Tafsir al-Bahrul Muhit, tafsir ayat 83-85 surah al-Syu'aara').

Khasiat dan kaifiat beramal:
Permohonan yang cukup lengkap oleh seorang manusia yang maksum adalah kesempurnaan hidup duniawi dan syurgawi. Ini wajar menjadi amalan kita. Maka sudah tentulah mengamalkan doa ini sangat besar faedahnya.

Monday, February 16, 2009

Bahaya Lidah


Daripada Sufian bin Abdullah al Thaqafi r.a. katanya: Rasullullah saw bersabda katanya: Aku bertanya Rasullullah saw, apakah yang sangat ditakuti atasku. Sabdanya: Lalu diambil lidahnya (yang mulia dan berkata inilah).
~ Hadis Riwayat Tarmizi.


Huraian:
Dalam hadis ini, Rasullullah saw pernah ditanya oleh sahabatnya yang dikenali sebagai Sufian al Thaqafi, katanya: Apakah yang paling kamu takuti atas diriku. Maka bersabda Nabi seraya menjelir lidahnya yang mulia lalu bersabda, “Inilah yang aku sangat takut dan bimbangi terhadap kamu”. Kerana bahaya lidah inilah yang boleh membahayakan mereka yang tidak dapat mengawalnya.

Kesimpulan:
Setiap mereka yang ingin berjaya di dunia dan akhirat mestilah tahu menjaga lidahnya. Berapa ramai yang binasa dan terperangkap lantaran angkara lidah sendiri.

Thursday, February 5, 2009

Amalan Yang Membawa Kejayaan


Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya daripada Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang yang (hendak) bertaqwa.
~ al-Baqarah: 2

Huraian:
Kitab al-Quran tidak perlu diragukan kebenarannya. Datangnya (wahyu) daripada Allah, dibawa oleh Jibril, bukannya karangan daripada Rasul. Al-Quran menjadi petunjuk untuk orang yang ingin bertaqwa.

Taqwa bermaksud memelihara iaitu memelihara hubungan yang baik dengan Tuhan, tidak melakukan perkara yang tidak diredai oleh Allah juga memelihara diri daripada terjerumus ke dalam lumpur atau duri.

Seorang sahabat Rasullullah saw (Abu Hurairah) pernah ditanya tentang taqwa. Beliau berkata, "Pernahkan engkau bertemu jalan yang banyak duri dan bagaimana tindakanmu waktu itu?" Orang itu menjawab, "Apabila aku melihat duri, aku mengelak ke tempat yang tidak ada durinya atau aku langkahi atau aku undur". Abu Hurairah menjawab, "Itulah dia taqwa!" (Riwayat Ibnu Abi Dunya).

Taqwa mendorong ke arah kejayaan. Kejayaan tidak mungkin dapat dicapai tanpa usaha yang bersungguh-sungguh. Sesiapa yang menghayati dan mengamalkan ajaran yang terkandung dalam al-Quran nescaya mendorong ke arah taqwa.

Kesimpulan:
Al-Quran tidak perlu diragui lagi kebenarannya. Petunjuk bagi umat manusia dan mukjizat teragung yang dikurniakan kepada Rasullullah saw. Sesiapa yang beriman dengan al-Quran nescaya keimanannya akan mendorong dirinya ke arah taqwa dan membawa kejayaan di dunia dan di akhirat.

Friday, January 30, 2009

Kekufuran Adalah Kegelapan


ALLAH pelindung (yang mengawal dan menolong) orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
~ al-Baqarah: 257

Huraian:
Hanya Allah swt yang berkuasa memberi hidayat kepada hamba2Nya. Ia berkuasa mengeluarkan manusia daripada kekufuran kepada keimanan. Iman kepada Allah berpaksikan akal yang waras mendorong manusia tunduk dan patuh kepada syariat Allah.

Namun terdapat segolongan manusia yang melanggar batasan agama.

Mereka menjadikan berhala sebagai dewa dan memimpin manusia ke arah kekufuran, inilah yang disebut dengan perkataan taghut. Pimpinan sebegini pastilah akan menjadikan tempat yang terang kembali gelap.

Cahaya terang akan diselimuti kabut yang membawa kegelapan kerana mereka mewarnainya dengan perlakuan fitnah, hasad dengki, perzinaan dan perlbagai maksiat yang sukar dibendung.

Mereka inilah penghuni neraka dan kekal selama-lamanya. Balasan tersebut adalah setimpal dengan perlakuan jahat mereka semasa di dunia.

Kesimpulan:
Allah berkuasa atas segala-galanya, memberi cahaya petunjuk setelah melalui kegelapan. Namun terdapat segolongan manusia yang kembali kepada kegelapan akibat kekufuran terhadap Allah swt. Neraka jahannam merupakan tempat tinggal mereka yang abadi.


Monday, December 15, 2008

Semua Dosa Diampun


DARIPADA Abi Idris r.a. katanya: Aku dengar pidato Muawiyah r.a., dan adalah beliau jarang bercerita mengenai Rasullullah saw: Katanya: Aku dengar Rasullullah bersabda: "Semua dosa diharapkan Allah akan mengampuninya selain dosa mereka yang sengaja membunuh mukmin lain atau mereka yang matinya dalam keadaan kufur".

~ Riwayat Nasaai'

Huraian:
Dalam hadis ini, Rasullullah saw memberi harapan kepada mereka yang terlanjur melakukan kesilapan dan kesalahan bahawa sesungguhnya dosa dan kesalahan tersebut mungkin diampuni Allah dengan rahmat dan keampunanNya, melainkan dosa membunuh saudaranya dengan sengaja atau dia meninggal tanpa sempat bertaubat dari dosa kekufurannya. Kerana dosa kufur tidak akan diampuni Allah swt dan dosa yang bersangkutan manusia lain perlu mendapat keampunan daripada mereka yang berkenaan dulu.

Kesimpulan:
Segala dosa yang dilakukan itu boleh diampuni Allah dengan melakukan taubat nasuha selain dosa mati dalam kufur dan membunuh yang dilakukan dengan sengaja.

Petikan dari Utusan Malaysia.

Sunday, December 14, 2008

Galakan Buat Amal Kebajikan


Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat; dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahala di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan.
~ al-Baqarah: 110

Huraian
:

Amal kebajikan yang dilakukan oleh manusia adalah hasil dari Iman kepada Allah swt. Kemuncak keimanan ialah amalan atau kewajipan mendirikan solat dan mengeluarkan zakat. Solat merupakan kemuncak ibadah seorang hamba kepada Allah swt.

Solat melahirkan kekuatan jiwa muslim. Solat juga merupakan kekuatan dan benteng yang mampu mencegah seseorang muslim dari melakukan perbuatan keji dan mungkar.
Solat yang cukup syarat akan mampu melahirkan akhlak yang mulia serta memberi ketenangan jiwa.

Kewajipan mengeluarkan zakat pula boleh membantu memantapkan ekonomi umat Islam di samping membersih dan memberi keberkatan dalam pemilikan harta dan kebajikan kaum fakir miskin.

Amal soleh tersebut bukanlah sesuatu yang sia-sia disisi Allah. Bahkan Allah membalas setiap perbuatan baik yang dilakukan oleh hambanya dengan ganjaran setimpal. Sesungguhnya Allah itu Maha Melihat perlakuan hambanya yang dilakukan seikhlas jiwa.

Kesimpulan
:
Lakukanlah ibadah hanya kerana Allah semata-mata. Setiap amal yang dilakukan dengan ikhlas dan mengharapkan reda Allah dilihat oleh Allah dengan RahmatNya. Allah swt menjanjikan ganjaran setiap amalan yang dilakukan oleh hambanya.

Petikan dari Utusan Malaysia.

Wednesday, December 10, 2008

Doa Semasa Tekanan Atau Stres


Bismillahir-rahmannir-rahim


FIRMAN Allah yang bermaksud: "Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami).
~ ali-'Imran: 173

Keterangan ayat:
Menurut al-Imam al-Bukhari, Ibn al-Munzir, al-Hakim dan al-Baihaqi, daripada Ibn Abbas berkata, bahawa doa di atas merupakan kalimah terakhir yang diucapkan oleh nabi Ibrahim sebelum dicampakkan ke dalam api.

Ia juga diucapkan oleh nabi Muhammad saw ketika golongan kafir menakut-nakutkan nabi tentang tentera bersekutu yang akan menyerang baginda saw (Tafsir al-Fakhrurrazi, tafsir ayat 173, surah ali-'Imran).

Khasiat dan kaifiat beramal:
Amalkan membaca zikir ini apabila berhadapan dengan suasana yang menakutkan atau ketika menghadapi tekanan atau stress.


Petikan dari Utusan Malaysia.

Thursday, December 4, 2008

Melantik Ketua


DARIPADA Abdullah bin Mas'ud ra. katanya: Rasullullah saw bersabda katanya: Bila tiga orang kamu keluar (bermusafir) maka lantiklah salah seorang untuk mengetuai kamu".
~ HR Abu Daud

Huraian:
Dalam hadis ini, Rasullullah saw mengarahkan, apabila satu rombongan yang terdiri daripada tiga orang bercadang untuk bermusafir, maka pilihlah salah seorang daripada mereka untuk mengetuai (memimpin mereka). Iaitu mereka perlu mematuhi arahan dari seorang ketua tersebut supaya tidak berlaku kekecohan dalam perjalanan tersebut. Namun kalau semua orang ingin menjadi ketua, maka rosaklah perjalanan dan akan berlakulah huru hara dalam perjalanan tersebut.

Kesimpulan:
Setiap anggota rombongan itu, perlu patuh kepada seorang ketua yang baik. Ini bagi mengendalikan rombongan itu dengan berjaya dan selamat, sebaliknya apabila semua anggota rombongan masing2 dengan fikirannya sendiri, huru haralah jadinya sesuatu urusan atau perjalanan itu.

Pahala Sedekah


DARIPADA Anas ra. katanya: Rasullullah saw bersabda katanya: Tidak ada seorang Muslim bercucuk tanam (sebarang tananam lalu dimakan dari tanaman itu manusia, burung atau binatang melainkan ada baginya pahala sedekah)
~ Riwayat Syaikhan.

Huraian:
Dalam hadis ini, Rasullullah saw mengalakkan umat Islam untuk bercucuk tanam dan melakukan sesuatu yang mendatangkan faedah untuk umum termasuklah juga burung dan binatang. Mereka akan beroleh pahala sedekah atas usaha yang dilakukannya tanpa sia2 dan percuma. Semua amal dan kerja yang berfaedah itu akan mendatangkan pahala sedekah.

Kesimpulan:
Alangkah luasnya ruang lingkup amal ibadah dalam agama. Ianya bukan sekadar ibadat ritual malah segala gerak kerja yang mendatangkan manfaat itu dikira beroleh pahala ganjaran dan akan dinilai sesuai dengan hasilnya.

Wednesday, December 3, 2008

Doa Mohon Dicukupkan Keperluan


Bismillahir rahman nirrahim


CUKUPLAH bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri dan Dialah yang mempunyai Arasy yang besar.
~ Al-Taubah: 129

Keterangan ayat:
Menurut Ibnu Abi Hatim, perkataan Arasy dalam al-Quran merujuk kepada tempat yang tinggi dijadikan Allah. (Tafsir Ibnu Abi Hatim, tafsir ayat 129, surat al-Taubah).

Dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim, Nabi saw sering berdoa menyeru Allah yang memiliki Arasy yang hebat ketika menghadapi keadaan kritikal.

Abu Daud dan Ibnu al-Sunni meriwayatkan daripada Abu Darda' r.a. secara mauquf bahawa Nabi saw bersabda: "Sesiapa yang membacakan ayat ini pada waktu pagi dan petang, sebanyak tujuh kali, maka Allah swt akan mencukupkan semua urusan dunia dan akhiratnya". (Al-Durrul Manthur, tafsir ayat 129 surah al-Taubah).

Khasiat dan kaifiat beramal:
Amalan membaca ayat ini sudah lama dipraktikkan dalam masyarakan Melayu. Mudah2an kita dapat mengamalkan ayat yang pendek ini untuk mendapat keselamatan daripada Allah swt.

Petikan dari Utusan Malaysia.

Thursday, October 23, 2008

Usah Tambah Dosa Sedia Ada


DAN sesiapa yang melakukan sesuatu kesalahan atau sesuatu dosa, kemudian ia menuduhkannya kepada orang yang tidak bersalah maka sesungguhnya ia telah memikul kesalahan berbuat dusta, dan melakukan dosa yang amat nyata.
~An-Nisaa': 112

Huraian:
Dalam ayat ini, Allah swt menjelaskan perangai buruk sesetengah manusia yang telah melakukan maksiat dan kesalahan sama ada kecil atau besar, tetapi kemudiannya menuduh orang lain yang tidak bersalah melakukannya.

Orang sebegini pada hakikatnya telah melakukan dua dosa iaitu dosa maksiat itu sendiri dan dosa berdusta atau tuduhan berbohong dan memfitnah.

Matlamat orang yang melakukan ini sama ada untuk melepaskan diri daripada hukuman dunia sebagaimana yang ditetapkan oleh syariat ataupun sengaja untuk menganiaya orang lain, kerana cemburu, irihati dan dengki.

Orang yang melakukan perkara sebegini pastinya menanggung dosa berganda yang dilakukannya, akan dibaling dengan azab yang pedih oleh Allah swt di akhirat kelak.

Selain itu, kehidupannya di dunia juga tidak akan selamat dan tenteram lantaran dihantui rasa bersalah, sentiasa bimbang rahsianya terbongkar, kegelisahan yang berpanjangan dan hilang keberkatan terhadap rezeki dan harta benda.

Islam telah mengajar kita bawa Allah swt itu bersifat Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Justeru bagai seseorang Islam sekiranya terlanjur melakukan dosa atau maksiat maka bersegeralah bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah dengan taubat yang bersungguh-sungguh (taubat nasuha).

Pastinya Allah akan mengampunkan dosa, dan jangan sekali-kali mengulangi lagi maksiat dengan menuduh orang lain melakukan dosa tersebut. Sesungguhnya Allah swt penerima taubat dan suka pada hamba2Nya yang sentiasa bertaubat.

Kesimpulan:
Islam melarang umatnya menuduh orang yang tidak bersalah melakukan dosa atau maksiat, tuduhan ini amat berat ditanggung oleh orang yang menerima tuduhan tersebut, bagi orang yang menuduh melakukan maksiat sebegini akan menanggung dosa yang besar kerana memfitnah orang lain.

Sebelum terlambat hendaklah bertaubat, bagi setiap dosa atau maksiat yang terlanjur dilakukan maka bersegeralah bertaubat kepada Allah dengan taubat nasuha kerana Allah swt itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Dari: Jakim

Monday, October 20, 2008

Hendaklah Berpijak Di Bumi Nyata


Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah ia kepada Kami (dalam segala keadaan) sama ada ia sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri dan manakala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, ia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon hapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya. (Sebagaimana ia memandang eloknya bawaan itu). Demikianlah diperelokkan pada pandangan orang2 yang melampani apa yang mereka lakukan.
~ Yunus: 12

Huraian:
Ayat ini menjelaskan terdapat dua jenis golongan manusia, iaitu golongan yang akan mengingati Allah pada setiap masa dan tempat serta dalam apa2 jua keadaannya ketika itu.

Golongan yang kedua pula ialah mereka yang hanya mengingati Allah SWT pada ketika dalam kesusahan, kesempitan dan kematian sahaja. Dalam keadaan sedemikian golongan ini sanggup meminta, memohon dan merayu kepada Allah SWT agar dilepaskan daripada segala mala petaka.

Setelah Allah SWT memperkenankan segala permintaan dan doa mereka lalu mereka hidup dalam kenikmatan dan kesenangan sehingga mejadi lalai dan lupa untuk mengingati Allah SWT. Golongan ini bukan sahaja lupa segala pertolongan Allah SWT, malah melampaui batasan agama dan syariat Islam yang suci ini.

Mereka tidak lagi mahu hidup berlandaskan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Mereka hidup bergelumang dengan dosa, maksiat, kemungkaran dan kekufuran.

Mereka lupa kepada asal kejadian, mereka lupa kepada Pencipta, mereka lupa segala-galanya yang memberi kebaikan dan kerahmatan hidup di dunia dan akhirat.

Sikap melampau ini mereka terjemahkan melalui perbuatan2 mungkar yang mereka lakukan.

Mereka bukan sahaja berbuat maksiat malah berbangga dengan perbuatan tersebut seolah-olah perbuatan jahat itu adalah perbuatan yang mulia yang disukai dan diredai Allah. Padahal semua itu adalah sebaliknya.

Kesimpulan:
Hakikatnya sebahagian besar umat manusia pada zaman ini cukup mudah lupa kepada Allah SWT apabila diuji dengan kenikmatan dan kesenangan dunia yang dianugerahkan Allah.

Setelah Allah SWT penuhi segala doa dan keinginan mereka dan mereka hidup dalam kemewahan, mereka akan lupa dan berlagak seolah-olah semua kenikmatan yang dikecapi itu bukan daripada Allah SWT.

Syurga Orang Berpuasa


Daripada Shahl r.a. katanya: Sabda Rasullullah SAW katanya, "Sesungguhnya dalam syurga itu terdapat satu pintu khusus yang dipanggil ar'ayan, akan masuk melalui pintu tersebut orang yang berpuasa pada hari kiamat yang mana tidak dapat memasukinya seorang yang lain dari mereka,"
~ HR-Bukhari

Huraian:
Dalam hadis ini, Rasullullah SAW menceritakan mengenai syurga yang mana di sana terdapat satu pintu khusus untuk mereka yang berpuasa. Orang berpuasa dapat memasuki pintu tersebut dengan penghormatannya yang mana pintu tersebut tidak dapat dimasuki oleh sesiapa pun melainkan orang yang berpuasa. Semuga kita semua akan mendapat penghormatan tersebut.

Kesimpulan:
Kelebihan ibadat puasa amat besar di sisi Allah SWT, sebab itu Allah sendiri akan memberi balasan kepada mereka yang berpuasa dan akan menyediakan satu pintu ar'ayan khusus untuk hambaNya yang berpuasa.


Merendah Diri


Sabda Rasullullah SAW, dalam hadis qudsi katanya firman Allah SWT, "Siapa yang merendah dirinya kepadaKu begini seraya Nabi meletakkan tapak tangannya keatas tanah pasti Aku angkatkannya tinggi begini, seraya diangkat tanggannya tinggi ke langit.
~Riwayat Ahmad dan lain-lain.

Huraian:
Dalam hadis ini, Rasullullah SAW menjelaskan firman Allah dalam hadis qudsi bermaksud sesiapa yang bertawaduk dan merendah dirinya di bawah kebesaran Allah seraya diletakkan tangannya yang mulia keatas bumi, nescaya Allah akan mengangkatkannya tinggi2 sambil Baginda mengisyaratkan dengan mengangkat tangannya yang mulia tinggi2 ke langit.

Kesimpulan:
Allah sangat sukakan hambaNya yang tahu kadar dirinya tentu lebih hina dan rendah apabila berhadapan dengan Tuhannya yang Maha Agung.

Friday, September 12, 2008

Aku Menyahut SeruanMu


Tibalah masanya saya mengundur diri buat sementara waktu untuk mengabdikan diri jauh dari hiruk piruk keduniaan, di tanah suci kota Makkah Al-Mukarramah.


Insyallah, semuga bertemu kembali dalam kesyahduan Syawal nanti.

Labbaikallahumma labbaik (Aku menyahut seruanMu. Ya Allah, aku menyahut seruanMu).


Saturday, September 6, 2008

Puasa Perisai Diri


Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi saw bersabda: Puasa adalah pelindung daripada neraka. Sekiranya seseorang daripada kamu sedang berpuasa pada suatu hari, maka janganlah bercakap kotor dan janganlah menengking. Jika seseorang mencela atau ingin bergaduh dengannya, katakanlah: Sesungguhnya aku berpuasa. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Kemuliaan Bulan Ramadan

Kemuliaan serta kelebihan Ramadan sabit dengan al-Quran dan habis Nabi saw. Sesungguhnya Ramadan telah dipilih oleh Allah sebagai bulan bagi umat Islam melaksanakan ibadat puasa. Firman Allah: Wahai orang yang beriman! Difardukan ke atas kamu puasa (Ramadan). (al-Baqarah: 183)

Ramadan juga adalah bulan diturunkan al-Quran. Firman Allah: Bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan daripada petunjuk dan pembeza. (al-Baqarah: 185)

Malam al-Qadar juga wujud pada bulan ini sahaja. Dalam bulan ini juga disunatkan kita bersolat Tarawih. Ini kerana pada bulan lain, solat sunat Tarawih tidak disyariatkan.

Ketika Ramadan juga, pintu syurga dibuka. Sabda Rasullullah saw: Apabila datang Ramadan, dibuka pintu-pintu syurga (riwayat Bukhari)

Bahkan pintu-pintu neraka akan ditutup dan syaitan pula diikat. Sabda Rasullullah saw: Apabila masuk bulan Ramadan dibuka pintu syurga, ditutup pintu neraka dan dirantai syaitan-syaitan (riwayat Bukhari).

Petikan dari Utusan Malaysia, 1 Sept 2008

Wednesday, August 27, 2008

Memelihara Sifat Taqwa Kepada Allah SWT


Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu berbisik-bisik sesama sendiri, maka janganlah kamu berbisik-bisik untuk melakukan dosa dan pencerobohan serta perbuatan derhaka kepada Rasullullah saw, dan (sebaliknya) berbisiklah untuk berbuat kebajikan dan bertaqwa. Dan hendaklah kamu tetap bertaqwa kepada Allah yang kepadaNya kamu semua akan dihimpunkan (pada hari kiamat untuk dihitung amal kamu dan menerima balasan).
~al-Mujadalah: 9

Huraian:
Allah swt melarang keras orang-orang yang beriman mengadakan perbincangan sulit dalam suasana yang boleh menimbulkan keraguan, menggugat kepercayaan dan membangkitkan kebimbingan di kalangan umat manusia. Apatah lagi, jika perbincangan tersebut merupakan perbuatan untuk menentang Rasullullah saw, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Islam menganjurkan perbincangan mengikut adab dan peraturan yang betul. Sesuatu tindakan yang hendak diambil yang melibatkan kepentingan ummah perlu diberitahu kepada ketua dan seterusnya dibincangkan bersama ahli-ahli yang lain bagi mengatur strategi yang berkesan dan mengambil tindakan yang bijaksana.

Sekiranya adab dan peraturan musyawarah ini diikuti, sudah pasti akan menghasilkan kesan yang positif yang dapat memberi faedah dan kebaikan kepada umat manusia. Sehubungan itu, semua orang beriman diseru melakukan hanya perkara-perkara kebaikan dan bertaqwa kepada Allah sahaja. Sifat taqwa akan dapat memelihara mereka daripada tergelincir dari jalan Allah dan menyelamatkan mereka daripada azab seksa pada hari kiamat kelak kerana Allah swt pasti akan membangkitkan seluruh umat manusia untuk dihitung segala amal perbuatan mereka semasa di dunia.

Kesimpulan:
Islam mengajurkan umat manusia untuk mengadakan perbincangan demi menghasilkan faedah dan kebaikan untuk semua. Orang yang bertaqwa kepada Allah swt akan sentiasa berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan kerana takutkan kemurkaan dan balasan Allah swt di akhirat kelak.

Dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).