Showing posts with label doa. Show all posts
Showing posts with label doa. Show all posts

Tuesday, March 17, 2009

Doa Agar Tergolong Sebagai Orang Soleh


Wahai Tuhanku, berilah daku ilmu pengetahuan agama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh. Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian. Dan jadikanlah daku daripada orang-orang yang mewarisi syurga Jannatun-Naim.
~ al-Syu'aara': 83-85

Keterangan ayat:
Mendahulukan ayat "berikanlah daku ilmu pengetahuan agama" sebelum ayat "hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh" menunjukkan kepentingan mendapat ilmu. Apabila memiliki ilmu, amalan yang benar dapat dilakukan.

Ilmu merupakan makanan roh dan amalan adalah makanan jasmani. Maka sudah tentu makanan rohani perlu diambil berat lebih daripada makanan jasmani. Abu Abdullah al-Razi mengatakan ilmu dalam ayat ini bukanlah khas untuk menjadi nabi kerana Ibrahim sudah dilantik menjadi nabi sebelum itu. Nabi Ibrahim turut memohon agar diingatkan sebagai manusia yang mulia selepas kematiannya.

Allah swt memakbulkannya dengan menjadikan dakwah Nabi Muhammad saw sebagai penyempurna risalahnya dan dinamakan Islam sebagai al-Hanifiyyah, mengambil sempena nama Nabi Ibrahim a.s.
Disamping sebutan nama yang baik, baginda juga meminta agar tergolong dalam ahli syurga di akhirat. (Tafsir al-Bahrul Muhit, tafsir ayat 83-85 surah al-Syu'aara').

Khasiat dan kaifiat beramal:
Permohonan yang cukup lengkap oleh seorang manusia yang maksum adalah kesempurnaan hidup duniawi dan syurgawi. Ini wajar menjadi amalan kita. Maka sudah tentulah mengamalkan doa ini sangat besar faedahnya.

Wednesday, December 10, 2008

Doa Semasa Tekanan Atau Stres


Bismillahir-rahmannir-rahim


FIRMAN Allah yang bermaksud: "Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami).
~ ali-'Imran: 173

Keterangan ayat:
Menurut al-Imam al-Bukhari, Ibn al-Munzir, al-Hakim dan al-Baihaqi, daripada Ibn Abbas berkata, bahawa doa di atas merupakan kalimah terakhir yang diucapkan oleh nabi Ibrahim sebelum dicampakkan ke dalam api.

Ia juga diucapkan oleh nabi Muhammad saw ketika golongan kafir menakut-nakutkan nabi tentang tentera bersekutu yang akan menyerang baginda saw (Tafsir al-Fakhrurrazi, tafsir ayat 173, surah ali-'Imran).

Khasiat dan kaifiat beramal:
Amalkan membaca zikir ini apabila berhadapan dengan suasana yang menakutkan atau ketika menghadapi tekanan atau stress.


Petikan dari Utusan Malaysia.

Wednesday, December 3, 2008

Doa Mohon Dicukupkan Keperluan


Bismillahir rahman nirrahim


CUKUPLAH bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri dan Dialah yang mempunyai Arasy yang besar.
~ Al-Taubah: 129

Keterangan ayat:
Menurut Ibnu Abi Hatim, perkataan Arasy dalam al-Quran merujuk kepada tempat yang tinggi dijadikan Allah. (Tafsir Ibnu Abi Hatim, tafsir ayat 129, surat al-Taubah).

Dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim, Nabi saw sering berdoa menyeru Allah yang memiliki Arasy yang hebat ketika menghadapi keadaan kritikal.

Abu Daud dan Ibnu al-Sunni meriwayatkan daripada Abu Darda' r.a. secara mauquf bahawa Nabi saw bersabda: "Sesiapa yang membacakan ayat ini pada waktu pagi dan petang, sebanyak tujuh kali, maka Allah swt akan mencukupkan semua urusan dunia dan akhiratnya". (Al-Durrul Manthur, tafsir ayat 129 surah al-Taubah).

Khasiat dan kaifiat beramal:
Amalan membaca ayat ini sudah lama dipraktikkan dalam masyarakan Melayu. Mudah2an kita dapat mengamalkan ayat yang pendek ini untuk mendapat keselamatan daripada Allah swt.

Petikan dari Utusan Malaysia.

Thursday, August 21, 2008

Doa Mohon Pertolongan Menghadapi Musuh


Bismillahir-rahmannir-rahim

Wahai Tuhan kami! Ampukanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam perjuangan), dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir.
~ ali-'Imran: 147

Keterangan ayat:
Sifat orang yang beriman adalah mereka sentiasa memuhasabah kesilapan dan tindak tanduk yang mereka lakukan.

Bahkan semasa suasana perang sekali pun, mereka berdoa bermunajat kepadaNya memohon keampunan.

Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan daripada Abi Hatim daripada Ibn Abbas bahawa, "dosa kami yang melampau batas" bermaksud kezaliman kami kepada diri kami sendiri. Kezaliman membawa kepada kemurkaan Allah. (Tafsir Ibn Jarir, tafsir ayat 147 surah ali-'Imran).

Khasiat dan kaifiat beramal:
Natijah daripada doa yang dipanjatkan dalam medan jihad itu ialah Allah mengurniakan kepada mereka kejayaan atas musuh dan balasan syurga. (Tafsir al-Fakhrurrazi, tafsir ayat 147, surah ali-'Imran).

Amalkan membaca doa ini terutama ketika melakukan dakwah secara ikhlas ke jalan Allah swt.


Dari Utusan Malaysia, petikan buku 101 Doa Para Nabi & Rasul Dalam Al-Quran: Khasiat & Kaifiat Beramal terbitan Telaga Biru Sdn Bhd.

Thursday, July 24, 2008

Doa Untuk Bayi Yang Baru Lahir


Bismillahir-rahmannir-rahim

Allah berfirman: .... Aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya daripada godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan).
~ ali-'Imran: 36

Keterangan ayat:
Hinnah Faquza, isteri Imran sewaktu telah lanjut usianya melihat seekor burung memberi makan kepada anaknya. Terlintas dalam fikirannya untuk mendapat anak. Dia bernazar kepada Allah jika mendapat anak lelaki akan disuruh memberi khidmat kepada Baitulmaqdis.

Allah memakbulkan doanya tetapi dikurniakan anak perempuan. Lazimnya tanggapan umum kepada anak lelaki ialah fizikalnya lebih hebat untuk menjaga rumah suci itu.

Walaupun begitu, bayi ini adalah anugerah Allah yang wajib disyukuri. Tambahan pula ia adalah bayi perempuan yang sempurna dan cantik. Nama yang diilhamkan oleh Allah untuk diberikan ialah Mariam yang bermakna kuat ibadat dan khidmatnya untuk Allah.

Ia juga dinamakan dengan keyakinan akan mejadi wanita yang paling tinggi kedudukannya di sisi Allah.
Munajatnya kepada Allah ialah ayat di atas, memohon kasihNya agar dijaga Mariam dan keturunananya daripada syaitan yang dilaknat.

Abu Hurairah ra berkata, Rasullullah bersabda, “setiap anak yang dilahirkan akan diganggu oleh syaitan melainkan Mariam kerana doa yang dibacakan oleh ibunya itu”.

Khasiat dan kaifiat beramal:
Amalkanlah membaca doa ini kepada anak yang baru dilahirkan untuk mendapat perlindungan Allah (Tafsir al-Khazin, tafsir ayat 36 surah ali-‘Imran).

Dari Utusan Malaysia, petikan daripada buku, 300 Hadis Bimbingan terbitan Telaga Biru Sdn Bhd

Wednesday, July 23, 2008

Doa Ketika Berhadapan Dengan Perkara Yang Rumit


Bismillahir-rahmannir-rahim


"Wahai Tuhanku, hukumkanlah (antara kami dengan mereka) dengan yang benar; dan Tuhan kami ialah yang melimpah-limpah rahmatNYA yang dipohonkan pertolonganNYA terhadap apa yang kamu sifatkan itu".
~ Al-Anbiya': 112

Keterangan ayat:
Daripada Qatadah berliau berkata, bahawa Nabi Muhammad saw diajar oleh Allah swt agar berdoa dengan doa ini. Maksud doa ini ialah baginda sentiasa berada pada pihak yang benar sedangkan musuhnya sentiasa berada pada pihak yang salah. Diriwayatkan baginda akan membaca doa ini ketika bertemu musuh. (Tafsir ibnu Abi Hatim, tafsir ayat 112 surah al-Anbiya’).

Khasiat dan kaifiat beramal:
Amalkan membaca ayat di atas apabila berhadapan dengan situasi yang sukar contohnya bila menghadapi tekanan, sedangkan kita menyakini kita berada di pihak yang benar.

Dari Utusan Malaysia, petikan daripada buku 101 Doa Para Nabi & Rasul Dalam Al-Quran Khasiat dan Kaifiat Beramal terbitan Telaga Biru Sdn Bhd.

Tuesday, July 22, 2008

Doa Memohon Keampunan


Bismillahir-rahmannir-rahim

"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab neraka"
~ al-'Imran: 16

Keterangan ayat:
‘Kami telah beriman’ bermaksud kami membenarkan seruan Islam itu. ‘Memohon keampunan’ pula ertinya memohon agar ditutup semua keburukan dan dilepaskan daripada kiraan dosa-dosa (Tafsir al-Khazin).

Dalam ayat berikutnya, Allah swt menyenaraikan golongan yang sentiasa berdoa kepada Allah tergolong dalam golongan yang sabar, golongan yang membenarkan (al-Sidiqqin), golongan yang taat kepada Allah (al-Qanitin), golongan yang bersedekah pada jalan Allah (al-Munfiqin) serta yang sering beristighfar dan bangkit berqiamulail pada sebelah malamnya (al-Mustaghfirin bil ashar).

Khasiat dan kaifiat beramal dengannya:
Berdoalah dengan ayat ini mudah-mudahan iman kita akan meningkat kepada iman golongan yang mulia.

Dari Utusan Malaysia.

Doa Adalah Intipati Kepada Segala Ibadah


Hadith:
Rasullullah saw bersabda yang maksudnya:
"Tiadalah di atas dunia ini seorang Muslim yang berdoa melainkan akan diperkenankan Tuhan atau dipalingkan daripadanya kejahatan selama dia tidak berdoa perkara-perkara yang berdosa atau membuat perkara yang memutuskan tali persaudaraan. Lantas seorang lelaki berkata: "Kalau begitu kita perbanyakkan doa?" Jawab baginda: "Di sisi Allah (penerimaan) lebih banyak".
~ Riwayat at-Tirmizi.


Huraiannya:
i) Setiap umat Islam dituntut supaya berdoa kerana doa adalah inti pati kepada segala ibadah. Orang yang enggan berdoa dianggap sebagai orang yang sombong, takbur dan bongkak.

ii) Ketika berdoa, kita hendaklah peka kepada apa yang didoakan (dipohon), janganlah berdoa dengan mulut sahaja sedangkan hati kita lalai. Sebaliknya hadirkan hati serta hayati apa yang dipohonkan itu serta yakin bahawa Allah akan menerima doa tersebut kerana sesungguhnya Allah S.W.T tidak akan memperkenankan doa orang yang hatinya lalai dan alpa.

iii) Supaya doa dimakbulkan, hendaklah kita mematuhi adab-adab berdoa serta memilih masa dan tempat yang sesuai kerana Allah dengan sifat-Nya yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang tidak akan mensia-siakan doa hamba-Nya selama mana apa yang diminta itu merupakan perkara-perkara yang baik. Begitu juga Allah yang sifat-Nya yang Maha Pengampun tidak akan menolak doa hambanya yang beristighfar dan berdoa memohon keampunan dari segala dosa yang telah dilakukan.