Tuesday, March 17, 2009

Doa Agar Tergolong Sebagai Orang Soleh


Wahai Tuhanku, berilah daku ilmu pengetahuan agama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh. Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian. Dan jadikanlah daku daripada orang-orang yang mewarisi syurga Jannatun-Naim.
~ al-Syu'aara': 83-85

Keterangan ayat:
Mendahulukan ayat "berikanlah daku ilmu pengetahuan agama" sebelum ayat "hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh" menunjukkan kepentingan mendapat ilmu. Apabila memiliki ilmu, amalan yang benar dapat dilakukan.

Ilmu merupakan makanan roh dan amalan adalah makanan jasmani. Maka sudah tentu makanan rohani perlu diambil berat lebih daripada makanan jasmani. Abu Abdullah al-Razi mengatakan ilmu dalam ayat ini bukanlah khas untuk menjadi nabi kerana Ibrahim sudah dilantik menjadi nabi sebelum itu. Nabi Ibrahim turut memohon agar diingatkan sebagai manusia yang mulia selepas kematiannya.

Allah swt memakbulkannya dengan menjadikan dakwah Nabi Muhammad saw sebagai penyempurna risalahnya dan dinamakan Islam sebagai al-Hanifiyyah, mengambil sempena nama Nabi Ibrahim a.s.
Disamping sebutan nama yang baik, baginda juga meminta agar tergolong dalam ahli syurga di akhirat. (Tafsir al-Bahrul Muhit, tafsir ayat 83-85 surah al-Syu'aara').

Khasiat dan kaifiat beramal:
Permohonan yang cukup lengkap oleh seorang manusia yang maksum adalah kesempurnaan hidup duniawi dan syurgawi. Ini wajar menjadi amalan kita. Maka sudah tentulah mengamalkan doa ini sangat besar faedahnya.

No comments: