Showing posts with label kalamullah. Show all posts
Showing posts with label kalamullah. Show all posts

Monday, February 16, 2009

Bahaya Lidah


Daripada Sufian bin Abdullah al Thaqafi r.a. katanya: Rasullullah saw bersabda katanya: Aku bertanya Rasullullah saw, apakah yang sangat ditakuti atasku. Sabdanya: Lalu diambil lidahnya (yang mulia dan berkata inilah).
~ Hadis Riwayat Tarmizi.


Huraian:
Dalam hadis ini, Rasullullah saw pernah ditanya oleh sahabatnya yang dikenali sebagai Sufian al Thaqafi, katanya: Apakah yang paling kamu takuti atas diriku. Maka bersabda Nabi seraya menjelir lidahnya yang mulia lalu bersabda, “Inilah yang aku sangat takut dan bimbangi terhadap kamu”. Kerana bahaya lidah inilah yang boleh membahayakan mereka yang tidak dapat mengawalnya.

Kesimpulan:
Setiap mereka yang ingin berjaya di dunia dan akhirat mestilah tahu menjaga lidahnya. Berapa ramai yang binasa dan terperangkap lantaran angkara lidah sendiri.

Thursday, February 5, 2009

Amalan Yang Membawa Kejayaan


Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya daripada Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang yang (hendak) bertaqwa.
~ al-Baqarah: 2

Huraian:
Kitab al-Quran tidak perlu diragukan kebenarannya. Datangnya (wahyu) daripada Allah, dibawa oleh Jibril, bukannya karangan daripada Rasul. Al-Quran menjadi petunjuk untuk orang yang ingin bertaqwa.

Taqwa bermaksud memelihara iaitu memelihara hubungan yang baik dengan Tuhan, tidak melakukan perkara yang tidak diredai oleh Allah juga memelihara diri daripada terjerumus ke dalam lumpur atau duri.

Seorang sahabat Rasullullah saw (Abu Hurairah) pernah ditanya tentang taqwa. Beliau berkata, "Pernahkan engkau bertemu jalan yang banyak duri dan bagaimana tindakanmu waktu itu?" Orang itu menjawab, "Apabila aku melihat duri, aku mengelak ke tempat yang tidak ada durinya atau aku langkahi atau aku undur". Abu Hurairah menjawab, "Itulah dia taqwa!" (Riwayat Ibnu Abi Dunya).

Taqwa mendorong ke arah kejayaan. Kejayaan tidak mungkin dapat dicapai tanpa usaha yang bersungguh-sungguh. Sesiapa yang menghayati dan mengamalkan ajaran yang terkandung dalam al-Quran nescaya mendorong ke arah taqwa.

Kesimpulan:
Al-Quran tidak perlu diragui lagi kebenarannya. Petunjuk bagi umat manusia dan mukjizat teragung yang dikurniakan kepada Rasullullah saw. Sesiapa yang beriman dengan al-Quran nescaya keimanannya akan mendorong dirinya ke arah taqwa dan membawa kejayaan di dunia dan di akhirat.

Friday, January 30, 2009

Kekufuran Adalah Kegelapan


ALLAH pelindung (yang mengawal dan menolong) orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
~ al-Baqarah: 257

Huraian:
Hanya Allah swt yang berkuasa memberi hidayat kepada hamba2Nya. Ia berkuasa mengeluarkan manusia daripada kekufuran kepada keimanan. Iman kepada Allah berpaksikan akal yang waras mendorong manusia tunduk dan patuh kepada syariat Allah.

Namun terdapat segolongan manusia yang melanggar batasan agama.

Mereka menjadikan berhala sebagai dewa dan memimpin manusia ke arah kekufuran, inilah yang disebut dengan perkataan taghut. Pimpinan sebegini pastilah akan menjadikan tempat yang terang kembali gelap.

Cahaya terang akan diselimuti kabut yang membawa kegelapan kerana mereka mewarnainya dengan perlakuan fitnah, hasad dengki, perzinaan dan perlbagai maksiat yang sukar dibendung.

Mereka inilah penghuni neraka dan kekal selama-lamanya. Balasan tersebut adalah setimpal dengan perlakuan jahat mereka semasa di dunia.

Kesimpulan:
Allah berkuasa atas segala-galanya, memberi cahaya petunjuk setelah melalui kegelapan. Namun terdapat segolongan manusia yang kembali kepada kegelapan akibat kekufuran terhadap Allah swt. Neraka jahannam merupakan tempat tinggal mereka yang abadi.


Sunday, December 14, 2008

Galakan Buat Amal Kebajikan


Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat; dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahala di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan.
~ al-Baqarah: 110

Huraian
:

Amal kebajikan yang dilakukan oleh manusia adalah hasil dari Iman kepada Allah swt. Kemuncak keimanan ialah amalan atau kewajipan mendirikan solat dan mengeluarkan zakat. Solat merupakan kemuncak ibadah seorang hamba kepada Allah swt.

Solat melahirkan kekuatan jiwa muslim. Solat juga merupakan kekuatan dan benteng yang mampu mencegah seseorang muslim dari melakukan perbuatan keji dan mungkar.
Solat yang cukup syarat akan mampu melahirkan akhlak yang mulia serta memberi ketenangan jiwa.

Kewajipan mengeluarkan zakat pula boleh membantu memantapkan ekonomi umat Islam di samping membersih dan memberi keberkatan dalam pemilikan harta dan kebajikan kaum fakir miskin.

Amal soleh tersebut bukanlah sesuatu yang sia-sia disisi Allah. Bahkan Allah membalas setiap perbuatan baik yang dilakukan oleh hambanya dengan ganjaran setimpal. Sesungguhnya Allah itu Maha Melihat perlakuan hambanya yang dilakukan seikhlas jiwa.

Kesimpulan
:
Lakukanlah ibadah hanya kerana Allah semata-mata. Setiap amal yang dilakukan dengan ikhlas dan mengharapkan reda Allah dilihat oleh Allah dengan RahmatNya. Allah swt menjanjikan ganjaran setiap amalan yang dilakukan oleh hambanya.

Petikan dari Utusan Malaysia.

Wednesday, August 27, 2008

Memelihara Sifat Taqwa Kepada Allah SWT


Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu berbisik-bisik sesama sendiri, maka janganlah kamu berbisik-bisik untuk melakukan dosa dan pencerobohan serta perbuatan derhaka kepada Rasullullah saw, dan (sebaliknya) berbisiklah untuk berbuat kebajikan dan bertaqwa. Dan hendaklah kamu tetap bertaqwa kepada Allah yang kepadaNya kamu semua akan dihimpunkan (pada hari kiamat untuk dihitung amal kamu dan menerima balasan).
~al-Mujadalah: 9

Huraian:
Allah swt melarang keras orang-orang yang beriman mengadakan perbincangan sulit dalam suasana yang boleh menimbulkan keraguan, menggugat kepercayaan dan membangkitkan kebimbingan di kalangan umat manusia. Apatah lagi, jika perbincangan tersebut merupakan perbuatan untuk menentang Rasullullah saw, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Islam menganjurkan perbincangan mengikut adab dan peraturan yang betul. Sesuatu tindakan yang hendak diambil yang melibatkan kepentingan ummah perlu diberitahu kepada ketua dan seterusnya dibincangkan bersama ahli-ahli yang lain bagi mengatur strategi yang berkesan dan mengambil tindakan yang bijaksana.

Sekiranya adab dan peraturan musyawarah ini diikuti, sudah pasti akan menghasilkan kesan yang positif yang dapat memberi faedah dan kebaikan kepada umat manusia. Sehubungan itu, semua orang beriman diseru melakukan hanya perkara-perkara kebaikan dan bertaqwa kepada Allah sahaja. Sifat taqwa akan dapat memelihara mereka daripada tergelincir dari jalan Allah dan menyelamatkan mereka daripada azab seksa pada hari kiamat kelak kerana Allah swt pasti akan membangkitkan seluruh umat manusia untuk dihitung segala amal perbuatan mereka semasa di dunia.

Kesimpulan:
Islam mengajurkan umat manusia untuk mengadakan perbincangan demi menghasilkan faedah dan kebaikan untuk semua. Orang yang bertaqwa kepada Allah swt akan sentiasa berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan kerana takutkan kemurkaan dan balasan Allah swt di akhirat kelak.

Dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Amanah Allah Satu Tanggungjawab


Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah engkau (Ya Tuhan Kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".
~ al-Baqarah: 30

Huraian:
Ayat ini menjelaskan bahawa Allah swt mahu menyerahkan kepada makhluk yang baru diciptakan (dilahirkan) ke dunia ini menerajui kepimpinan untuk mentadbir dan memimpin di bumi ciptaanNya. Tugas menjadi pemimpin ini bukanlah suatu tugas yang mudah tetapi Allah swt Maha Mengetahui bahawa manusia mampu memikul tugas yang dipertanggungjawabkan ini.

Sebagai khalifah Allah yang telah menerima amanah, tugas dan tanggungjawab, seseorang itu wajib menunaikan amanah dan tanggungjawab mereka di dunia ini. Bagi seorang guru, tugas mereka memberi pelajaran dan pendidikan kepada murid-muridnya. Oleh itu, selagi murid-murid itu berada di sekolah, maka guru-guru yang akan mengambil peranan sebagai pendidik. Para guru hendaklah memberi pelajaran dan pendidikan yang sempurna mengikut tanggungjawab sebagai guru.

Begitu pula bagi kakitangan awam yang lain. Tugas hakiki yang mesti diselesaikan bermula dari pagi berlarutan hingga ke petang. Mereka mesti amanah dalam bekerja. Masa bekerja hendaklah dilaksanakan tugas dan tanggungjawab tersebut.

Tepatilah masa, patuhilah arahan dan peraturan di tempat kerja. Mereka tidak boleh sewenang-sewenangnya ponteng kerja, keluar makan minum sesuka hati kerana ini merupakan perkara yang meyalahi peraturan. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa ingat tanggungjawab dan amanah sebagai khalifah Allah di dunia ini.

Kesimpulan:
Menjadi pemimpin merupakan tugas yang mudah, tetapi melaksanakan tugas sebagai pemimpin yang telah diamanahkan Allah dengan pelbagai tanggungjawab, itu amat berat untuk dilaksanakan dengan betul. Menerima, menjaga dan melaksanakan amanah ini perlu dilaksanakan dengan sungguh-sungguh kerana tugas ini amat berat dan akan dipersoal olah Allah swt di akhirat kelak.


Tuesday, August 26, 2008

Sembahlah Allah Dan Jauhi Sifat Sombong


Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong, takbur dan membangga-banggakan diri.
~ an-Nisaa': 36



Huraian:
Dalam ayat ini termaktub perintah untuk beribadat kepada Allah dan melarang beribadat selain daripada Allah sama ada benda, manusia, haiwan, malaikat atau pun syaitan.

Kemudian suruhan agar berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa secara khusus dan juga agar berbuat baik kepada kaum keluarga secara umum.

Galakan berbuat baik kepada ibu bapa kerana fitrah manusia mudah lupa kepada orang yang banyak berjasa, memelihara dan mendidiknya sedari kecil. Apabila mereka telah uzur mereka sangat memerlukan pembelaan dan jagaan anak-anak mereka.

Sesungguhnya perintah Allah agar berbuat baik kepada kerabat yang memerlukan pertolongan seperti jiran tetangga, anak-anak yatim dan orang miskin. Semua ini adalah sesuai dengan fitrah semula jadi manusia yang memerlukan kasih sayang, suasa mesra dan saling bertimbang rasa supaya manusia dapat menjalani kehidupan dalam keadaan yang baik.

Seterusnya suruhan berbuat baik dengan cara meninggalkan sifat-sifat buruk seperti sifat sombong, riak, kedekut dan seumpamanya. Menjauhi sifat-sifat mazmumah sebegini mampu memantapkan kejernihan jiwa dan menepis sikap membangga-banggakan diri dalam kehidupan.

Kesimpulan:
Al-Quran mengungkapkan bahawa Allah swt mengasihi orang yang bersih dari melakukan syirik kepadaNya, berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, orang miskin, anak-anak yatim serta menjauhi sifat sombong riak dan kedekut.

Apabila semua perintah ini ditaati nescaya akan lahirlah masyarakat yang baik dan harmoni.


Petikan dari Utusan Malaysia.