Wednesday, August 27, 2008

Amanah Allah Satu Tanggungjawab


Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah engkau (Ya Tuhan Kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".
~ al-Baqarah: 30

Huraian:
Ayat ini menjelaskan bahawa Allah swt mahu menyerahkan kepada makhluk yang baru diciptakan (dilahirkan) ke dunia ini menerajui kepimpinan untuk mentadbir dan memimpin di bumi ciptaanNya. Tugas menjadi pemimpin ini bukanlah suatu tugas yang mudah tetapi Allah swt Maha Mengetahui bahawa manusia mampu memikul tugas yang dipertanggungjawabkan ini.

Sebagai khalifah Allah yang telah menerima amanah, tugas dan tanggungjawab, seseorang itu wajib menunaikan amanah dan tanggungjawab mereka di dunia ini. Bagi seorang guru, tugas mereka memberi pelajaran dan pendidikan kepada murid-muridnya. Oleh itu, selagi murid-murid itu berada di sekolah, maka guru-guru yang akan mengambil peranan sebagai pendidik. Para guru hendaklah memberi pelajaran dan pendidikan yang sempurna mengikut tanggungjawab sebagai guru.

Begitu pula bagi kakitangan awam yang lain. Tugas hakiki yang mesti diselesaikan bermula dari pagi berlarutan hingga ke petang. Mereka mesti amanah dalam bekerja. Masa bekerja hendaklah dilaksanakan tugas dan tanggungjawab tersebut.

Tepatilah masa, patuhilah arahan dan peraturan di tempat kerja. Mereka tidak boleh sewenang-sewenangnya ponteng kerja, keluar makan minum sesuka hati kerana ini merupakan perkara yang meyalahi peraturan. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa ingat tanggungjawab dan amanah sebagai khalifah Allah di dunia ini.

Kesimpulan:
Menjadi pemimpin merupakan tugas yang mudah, tetapi melaksanakan tugas sebagai pemimpin yang telah diamanahkan Allah dengan pelbagai tanggungjawab, itu amat berat untuk dilaksanakan dengan betul. Menerima, menjaga dan melaksanakan amanah ini perlu dilaksanakan dengan sungguh-sungguh kerana tugas ini amat berat dan akan dipersoal olah Allah swt di akhirat kelak.


No comments: