Wednesday, August 27, 2008

Memelihara Sifat Taqwa Kepada Allah SWT


Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu berbisik-bisik sesama sendiri, maka janganlah kamu berbisik-bisik untuk melakukan dosa dan pencerobohan serta perbuatan derhaka kepada Rasullullah saw, dan (sebaliknya) berbisiklah untuk berbuat kebajikan dan bertaqwa. Dan hendaklah kamu tetap bertaqwa kepada Allah yang kepadaNya kamu semua akan dihimpunkan (pada hari kiamat untuk dihitung amal kamu dan menerima balasan).
~al-Mujadalah: 9

Huraian:
Allah swt melarang keras orang-orang yang beriman mengadakan perbincangan sulit dalam suasana yang boleh menimbulkan keraguan, menggugat kepercayaan dan membangkitkan kebimbingan di kalangan umat manusia. Apatah lagi, jika perbincangan tersebut merupakan perbuatan untuk menentang Rasullullah saw, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Islam menganjurkan perbincangan mengikut adab dan peraturan yang betul. Sesuatu tindakan yang hendak diambil yang melibatkan kepentingan ummah perlu diberitahu kepada ketua dan seterusnya dibincangkan bersama ahli-ahli yang lain bagi mengatur strategi yang berkesan dan mengambil tindakan yang bijaksana.

Sekiranya adab dan peraturan musyawarah ini diikuti, sudah pasti akan menghasilkan kesan yang positif yang dapat memberi faedah dan kebaikan kepada umat manusia. Sehubungan itu, semua orang beriman diseru melakukan hanya perkara-perkara kebaikan dan bertaqwa kepada Allah sahaja. Sifat taqwa akan dapat memelihara mereka daripada tergelincir dari jalan Allah dan menyelamatkan mereka daripada azab seksa pada hari kiamat kelak kerana Allah swt pasti akan membangkitkan seluruh umat manusia untuk dihitung segala amal perbuatan mereka semasa di dunia.

Kesimpulan:
Islam mengajurkan umat manusia untuk mengadakan perbincangan demi menghasilkan faedah dan kebaikan untuk semua. Orang yang bertaqwa kepada Allah swt akan sentiasa berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan kerana takutkan kemurkaan dan balasan Allah swt di akhirat kelak.

Dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

No comments: